Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA kasih jari anak yatim BERJAYA MENCAPAI 149 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI

31  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0441.
Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa orang banyak bertanya kepada Rasulullah saw. Tanya mereka, "Dapatkah kami melihat Tuhan kita nanti di hari kiamat?" Jawab Nabi, "Masih sangsikah kamu untuk dapat melihat bulan purnama pada malam empat belas yang tidak berawan?" Jawab mereka, "Tidak! Ya, Rasulullah!" Tanya Nabi saw., "Masih sangsikah kamu untuk dapat melihat matahari di tengah hari yang tidak berawan? Jawab mereka, "Tidak!" Sabda Nabi saw., "Sesungguhnya kamu akan melihat Allah (Tuhanmu) seperti itu. Pada hari kiamat itu akan dikumpulkan seluruh manusia. Lalu Allah berfirman, "Siapa yang menyembah sesuatu (selain aku), maka hendaklah dia mengikut sembahannya itu." Di antara mereka itu ada yang mengikut matahari, ada yang mengikut bulan dan ada yang mengikut bermacam-macam thaghut (berhala). Maka tinggallah umat Islam ini, termasuk di dalamnya orang-orang munafik. Allah akan datang kepada mereka dan berfirman, "Aku adalah Tuhanmu!" Jawab mereka, "Kami akan tetap di sini hingga Tuhan kami datang. Apabila Tuhan kami datang, kami akan mengenalNya." Maka datanglah Allah kepada mereka, lalu berfirman: "Aku Tuhanmu!" Jawab mereka, "Ya, Engkaulah Tuhan kami." Allah akan memanggil mereka, dan sebuah jambatan dibentangkan melintasi neraka jahannam. Aku (Muhammad saw.) adalah orang pertama di antara para Rasul beserta umatnya yang pertama-tama melintasinya. Tak seorang pun di kala itu yang berkata-kata kecuali doa para Rasul. Doa mereka ketika itu ialah: "Ya, Allah! Selamatkan, selamatkan!" Di dalam neraka jahannam itu terdapat kaitan-kaitan seperti duri kayu Saadan. Tahukah anda duri kayu Saadan itu?" Jawab orang banyak, "Tahu." Sabda Nabi saw., "Rupanya seperti duri kayu Saadan, tetapi besarnya hanya Allah swt. yang tahu, manusia akan terkait kerana amalnya. Di antaranya ada yang jatuh berkait sesuai dengan amalnya, tetapi ada pula yang terkait sedikit saja, kemudian lepas." Apabila Allah swt. menghendaki akan memberi rahmat kepada penduduk neraka, maka disuruhNya malaikat mengeluarkan orang-orang yang pernah menyembah Allah. Mereka segera mengeluarkannya, yang masing-masing dikenalnya dengan tanda bekas sujud. Allah swt. mengharamkan api memakan tanda bekas sujud. Maka keluarlah mereka dari neraka. Seluruh tubuh anak Adam akan dimakan api kecuali bekas sujud. Para malaikat mengeluarkan mereka dari neraka dalam keadaan hangus. Lalu dituangkan kepada mereka air kehidupan. Maka tumbuhlah badan mereka sebagai tumbuhnya bibit di tanah bekas banjir. Setelah Allah swt. mengadili mereka, masih ada ketinggalan seseorang antara syurga dan neraka. Dialah orang terakhir dari isi neraka yang akan masuk ke dalam syurga. Dikala mukanya dihadapkannya ke neraka, dia mendoa: "Wahai, Tuhan ku! Palingkanlah muka ku dari neraka ini. Baunya sungguh amat menyakitkan kepada ku, dan panasnya membakar ku." Allah akan menanyainya, "Sekiranya permintaanmu Aku kabulkan, apakah engkau hendak meminta lagi yang lain?" Jawabnya, "Demi kebesaran Engkau, tidak akan kuminta lagi." Maka diperkenankan oleh Allah permintaannya (tersebut di atas) , dengan perjanjian seperti tersebut. Lalu dipalingkan Allah mukanya dari neraka. Tetapi setelah mukanya dihadapkan ke Syurga, dan dilihatnya keindahan syurga, diamlah ia seketika. Kemudian ia mendoa pula: "Ya, Tuhan ku, bawalah aku ke dekat pintu syurga!" Allah bertanya, "Bukankah engkau telah mengikat janji dengan ku, yang engkau tidak akan memajukan permintaan yang lain lagi?" Jawab orang itu, "Wahai, Tuhan ku! Janganlah kiranya aku dijadikan makhluk yang paling malang!" Jawab Allah, Sekiranya Aku kabulkan permintaanmu, apakah engkau masih hendak meminta yang lain lagi?" Jawabnya, "Tidak! Demi kebesaran Mu, aku tidak akan meminta yang lain lagi!" Lalu diperkenankan Allah permintaannya dengan perjanjian, dan dia dibawa ke pintu syurga. Setelah sampai di pintu syurga, kelihatan olehnya keindahan syurga, kegemilangan, dan kegembiraan yang ada di dalam syurga. Dia terdiam pula seketika. Kemudian ia memohon pula, "Wahai, Tuhan ku! Masukkanlah kiranya aku ke dalam syurga!" Kata Allah, "Kasihan kamu, hai anak Adam! Alangkah penipunya kamu! Bukankah kamu sudah berjanji tidak akan meminta lagi selain yang telah kamu peroleh?" Jawabnya, "Ya, Tuhan! Janganlah kiranya aku dijadikan makhluk yang paling malang. " Allah 'Azza wa Jalla tertawa mendengarkan ucapannya itu. Kemudian dia mengizinkannya masuk ke syurga. Berkata Allah, "Mintalah segala yang kamu inginkan." Lalu dia memohon segala yang diinginkannya sehingga ia puas. Kemudian Allah berkata pula, "Mintalah tambahannya ini dan itu." Diingatkan oleh Allah kepadanya berbagai macam keinginannya sampai ia puas. Kata Allah pula, "Semua ini untukmu, dan ada lagi tambahannya sebanyak itu pula."

32  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1586.
Dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah saw. bersabda: "Wanita yang terbaik adalah yang pandai mengenderai unta. Wanita Quraisy yang terbaik adalah yang paling kasih-sayang kepada anak-anak kecil, serta paling pandai menjaga harta-benda suaminya."

33  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1495.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Wanita Quraisy itu amat baik, mereka dapat menunggang unta, amat pengasih pada anak-anak dan pandai menjaga harta suaminya".

34  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1697.
Dari 'Aisyah r.a, katanya: Ada seorang Arab dusun datang kepada Nabi saw. sambil berkata: "Kamu mencium anak-anak, sedangkan kami tidak pernah mencium mereka." Lalu Nabi saw. menjawab: "Apakah daya saya, seandainya Tuhan telah mencabut rasa kasih sayang dari hatimu."

35  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1469.
Dari Zainab binti Jahsy r.a., Nabi s.a.w. masuk ke tempatnya dalam keadaan cemas sambil bersabda: La ilaha illallah. Celaka orang Arab kerana bahaya yang sungguh telah dekat. Hari ini telah dibukakan tutup (dinding) Ya'Juj Makjuj seperti ini. Beliau melingkarkan dua ibu jari dengan jari yang lain. Saya lalu bertanya: "Hai Rasulullah! Akan binasakah kita, padahal orang-orang yang baik-baik masih ada di antara kita?" Beliau menjawab: "Ya, apabila telah banyak yang buruk!"

36  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0285.
Dari Abu Musa r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Sesungguhnya seorang mukmin terhadap seorang mukmin bagaikan sebuah rumah, yang satu mengukuhkan yang lain." Ketika berkata itu, Rasulullah saw. mendekatkan jari-jarinya.

37  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0286.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah saw. solat bersama kami, salah satu dari dua solat petang. (Kata Ibnu Sirin yang meriwayatkan hadis ini dari Abu Hurairah, Abu Hurairah ada menyebutkan nama solat itu, tetapi Ibnu Sirin telah lupa). Maka Nabi saw. solat bersama kami dua rakaat lalu memberi salam. Sesudah itu beliau berdiri pada sebuah kayu yang dilintangkan di masjid dan bertelekan padanya. Beliau kelihatan seperti orang sedang marah. Diletakkannya tangan kanannya di atas tangan kirinya dan dipersilangkannya jari-jari kedua tangannya, kemudian diletakkannya pipi kanan di punggung telapak tangan kiri. Orang-orang yang ingin cepat, telah keluar dari pintu masjid sambil bertanya-tanya, "Apakah solat diperpendek?" Di antara jemaah waktu itu terdapat juga Abu Bakar dan Umar. Tetapi keduanya tidak berani menanyakan hal itu kepada Nabi saw. Dari dalam jemaah itu terdapat pula seorang sahabat yang panjang kedua belah tangannya sehingga dia dipanggilkan "Dzul Yadain". Orang ini bertanya kepada Rasulullah, "Ya, Rasulullah! Apakah anda lupa, ataukah memang solat dipersingkat?" Jawab Nabi, "Saya tidak lupa dan solat tidak pula dipersingkat." Lalu beliau bertanya (kepada jemaah), "Betulkah itu apa yang ditanyakan Dzul Yadain itu?" Jawab jemaah, "Betul." kerana itu Nabi saw. berdiri kembali menyempurnakan rakaat yang tinggal, kemudian beliau memberi salam. Sesudah itu beliau takbir dan sujud seperti sujudnya dalam solat atau lebih. Kemudian beliau mengangkat kepala sambil takbir, sesudah itu sujud pula seperti sujud solat atau lebih, kemudian beliau mengangkat kepala sambil takbir." Kata perawi menambahkan, boleh jadi mereka bertanya, "Adakah Nabi memberi salam sesudah itu" Katanya, Imran bin Husain "Sesudah itu, Nabi saw. memberi salam. "

38  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1277.
Dari Jundab bin Sufyan r.a., Rasulullah s.a.w. berada pada suatu pertempuran, dan jari beliau berdarah, lalu beliau bersabda: " Engkaulah anak jari yang berdarah, dan engkau mengalaminya dalam membela agama Allah!"

39  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1249.
Dari Abu Hurairah r.a. dan Zaid bin Khalid Al Juhani r.a. keduanya berkata: Orang Arab dusun datang, lalu berkata: "Hai Rasulullah! Putuskanlah perselisihan antara kami dengan dasar Kitab Allah!" Lawannya lalu berdiri, katanya: "Benar begitu, putuskanlah perkara kami dengan dasar Kitab Allah!" Orang Arab dusun tadi berkata: "Anak saya bekerja dengan orang ini, kemudian berzina dengan isterinya': Mereka mengatakan pada saya: "Anak engkau mesti direjam (hukum mati)." Maka saya tebus anak saya dengan seratus ekor kambing dan seorang budak perempuan. Kemudian saya bertanya kepada ahli pengetahuan. Mereka menjawab: "Sesungguhnya hukuman anak engkau hanya seratus dera dan diasingkan setahun." Nabi s.a.w. bersabda: "Saya putuskan perkara kamu keduanya dengan Kitab Allah. Adapun hamba sahaya dan kambing kembali kepada mu dan hukuman anakmu seratus dera dan diasingkan setahun". Dan adapun engkau, hai Unais! Esok pagi pergilah kepada perempuan orang ini, maka rejamlah dia!" Pagi harinya Unais pun datang kepadanya, lalu direjamnya perempuan itu.

40  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1919.
Dari Abu Hurairah r.a. dan Zaid bin Khalid Al Juhani r.a., katanya: Datang seorang Arab dusun mengatakan: "Ya Rasulullah! Putuskanlah perkara antara kami menurut Kitab Allah!" Lawan nya berdiri dan mengatakan pula: "Benar begitu! Putuskanlah antara kami menurut Kitab Allah!" Kata orang Arab dusun: "Sesungguhnya anak saya bekerja sebagai orang upahan dari orang ini, lalu dia berzina dengan perempuan orang ini. Ada yang mengatakan kepada saya, bahawa anak engkau perlu dihukum rejam. Kerana itu anak tadi saya tebusi dengan seratus kambing dan seorang hamba sahaya. Kemudian saya tanyakan pula kepada ahli pengetahuan, dijawabnya bahawa hukuman untuk anak itu seratus dera dan pengasingan satu tahun." Nabi saw. bersabda: "Sesungguhnya aku akan memutuskan perkara antara engkau berdua menurut Kitab Allah. Adapun hamba sahaya dan kambing dikembalikan kepada engkau dan anak engkau dihukum seratus kali dera dan pengasingan selama satu tahun. Dan engkau hai Unais berkenaan dengan laki-laki ini, pergilah di pagi hari kepada perempuan orang ini dan rejamlah perempuan itu." Unais pergi di pagi hari kepada perempuan itu, lalu direjamnya.